SEOUL 25 Jan. - Pengeluar barangan elektronik dari Korea Selatan,
Samsung Electronics mencatatkan keuntungan bersih berjumlah 23.8 trilion
won (RM64.5 bilion) pada tahun lalu, disumbangkan melalui prestasi suku
keempat yang memberangsangkan.
Bagi keseluruhan tahun lalu, syarikat itu mencatatkan pendapatan
berjumlah 201.1 trilion won (RM582 bilion) yang dipacu hasil jualan
telefon pintar serta cip memori keluarannya.
Pada suku keempat 2012, Samsung merekodkan keuntungan bersih
berjumlah 7.04 trilion won (RM20.46 bilion) iaitu peningkatan 75.6
peratus berbanding setahun yang lalu.
Menurut satu kenyataan, sebahagian besar perolehannya disumbangkan oleh jualan telefon pintar Galaxy S3 dan Galaxy Note 2.
Bagaimanapun, syarikat itu menjangkakan jualannya bagi awal tahun
2013 sedikit perlahan ekoran permintaan telefon pintar di negara maju
yang lembap, selain terpaksa berhadapan harga pesaing yang kompetitif.
Berdasarkan pengumpulan data antarabangsa, penganalisis percaya
Samsung berjaya menjual 63 juta unit telefon pintarnya pada suku
terakhir tahun lalu. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment