NEW YORK 27 Jan. - Syarikat gergasi teknologi, Apple kehilangan
status sebagai syarikat terbesar dunia daripada aspek nilai pasaran
apabila sahamnya terus jatuh pada Jumaat lalu.
Syarikat itu mengakhiri dagangan dengan sahamnya jatuh sebanyak 2.36
peratus kepada AS$439.88 (RM1,320) dengan modal pasaran berjumlah AS$413
bilion (RM 1.32 trilion).
Saham syarikat minyak, Exxonmobil meningkat sebanyak 0.36 peratus
kepada AS$91.68 (RM275) dengan modalan pasaran berjumlah AS$418 bilion
untuk berada pada kedudukan teratas.
Apple buat pertama kali mengatasi Exxonmobil sebagai syarikat paling
bernilai dunia berlandaskan nilai pada sahamnya pada Ogos 2011.
Setahun kemudian, Apple mengatasi pesaing lamanya Microsoft sebagai
syarikat paling bernilai dalam sejarah daripada aspek nilai sahamnya
yang mencecah AS$622 bilion (RM1.87 trilion).
Bagaimanapun, keadaannya berubah pada minggu selepas ramalan yang
muram yang mengiringi pengumuman keuntungan sukuan yang pesimis terhadap
pertumbuhan perlahan perniagaan syarikat gergasi teknologi itu.
Apple mencatatkan keuntungan sebanyak AS$13.1 bilion (RM39.3 bilion)
menerusi perolehan berjumlah AS$54.5 bilion (RM 163.5 bilion) dalam
tahun kewangan berakhir 29 Disember lalu.
Penjualan iPhone dan iPads dicatatkan tinggi setiap sukuan.
Para penganalisis mengekalkan cadangan berhati-hati terhadap saham
Apple yang telah memperlihatkan kenaikan mendadak pada September tahun
lalu kepada AS$700 (RM1,200) sesaham tetapi jatuh sebanyak 37 sen
selepas itu.
Terdapat beberapa pemerhati berpendapat bahawa Apple telah hilang
kemuncak dalam inovasinya sejak kematian pengasas bersamanya, Steve
Jobs.
Syarikat itu dikatakan telah kalah dengan pesaing-pesaing seperti
Samsung yang menerajui pasaran telefon pada waktu ini dan
syarikat-syarikat lain yang menggunakan sistem pengoperasian android
Google. - AFP
No comments:
Post a Comment