MaSa ItU EmAs

Wednesday 31 October 2012

Berpoligami Itu Mendatangkan Kebaikan Atau Keburukan???


Keratan Akhbar Berita Harian (BH), Bertarikh 21.10.2012

Baru-baru ini aku terbaca satu artikel di dalam surat khabar "Berita Harian (BH)" bertarikh 21.10.2012 bertajuk "JAKIM sahkan suami tak perlu minta izin". Di dalam artikel tersebut ada menyatakan bahawa :

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa undang-undang syariah di Malaysia memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri".

Di sini, suka untuk aku memetik kata-kata daripada salah seorang Tokoh Negarawan Terulung Negara kita iaitu Mantan Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr Mahathir Mohammad di dalam buku beliau "Doktor Umum, Memoir Tun Dr Mahathir Mohammad", Bab 2 : Nilai Kekeluargaan, Muka Surat 22 & 23.

Beliau ada menyebut bahawa :

"Ramai orang berpegang kepada hujah bahawa Islam membenarkan lelaki mempunyai empat Isteri pada satu-satu masa, tetapi ada satu bahagian ayat yang sering diketepikan. Al-Quran menyebut kita boleh berkahwin dua, tiga atau empat isteri, tetapi jika kita tidak dapat berlaku adil kepada mereka maka cukuplah dengan seorang isteri. Dan dalam surah yang sama disebut lagi, bahawa adalah agak sukar bagi kita untuk berlaku adil kepada wanita.

Jadi implikasinya jelas : Al-Quran menyarankan beristeri satu, bukannya dua, tiga atau empat. Bagaimanapun poligami dibolehkan dalam keadaan tertentu, misalnya peperangan yang menyebabkan bilangan wanita menjadi lebih ramai daripada lelaki bagi memastikan ada orang yang menjaga balu mangsa perang.

Islam bukanlah semata-mata mengenai kepercayaan dan amalan tertentu sahaja sebaliknya merangkumi tatacara bermasyarakat dalam kehidupan seharian, termasuk menepati masa, menjaga kebersihan diri dan melindungi alam sekitar".

Aku amat setuju dengan pandangan dan pendapat bernas Tun Dr Mahathir. Ini kerana berdasarkan kepada pengalaman aku sendiri yang berada di dalam keluarga yang mengamalkan poligami. Aku mendapati kebanyakan daripada mereka tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya menurut syariat Islam. Anak-anak dan juga si isteri yang menjadi mangsa keadaan. Mereka ini diabaikan nafkah dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya daripada bapa tercinta kesan daripada sikap si bapa atau si suami yang tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.


 "Aku terima nikahnya dengan si dia binti si ayah dia dengan mas kahwinnya RM"

Sebagai umat Islam kita wajib menghayati makna sebenar "LAFAZ AKAD NIKAH" sama ada yang tersurat mahu pun yang tersirat.

Erti Tersirat : 

"Aku tanggung dosa-dosa si dia dari ibu bapanya, apa saja dosa yang dia buat, dari dedah aurat hingga ke tinggalnya solat, aku tanggung dan bukan lagi ibu bapanya tanggung dan aku tanggung semua dosa bakal anak-anak aku. Kalau gagal, maka aku fasik, dayus & aku rela masuk neraka dan malaikat Zabaniyah melibas aku hingga pecah badan aku” 

Bukan lah tujuan aku untuk menulis artikel ini bertujuan untuk memburukkan atau mengaibkan nama baik keluarga aku, tapi ianya hanya sekadar perkongsian untuk para pembaca-pembaca blog ini, supaya memikirkan sedalam-dalamnya kesan negatif yang mungkin akan timbul sekiranya ingin berpoligami tetapi tidak menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Namun begitu, ingin aku tegaskan bahawa tidak semua yang berpoligami itu tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Ada dikalangan kita yang berpoligami mampu menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin dan mengikut syariat Islam namun bilangan insan seperti ini tidak ramai malah boleh dikatakan hanya terdapat segelintir sahaja yang benar-benar ikhlas untuk melaksanakan tuntutan berpoligami mengikut apa yang dikehendaki oleh agama Islam.

Fikir-fikirkan la.....



Monday 29 October 2012

Kemalangan Maut???

Sejak akhir-akhir ini, kita sering kali mendengar di corong-corong radio, televisyen mahupun di dada-dada akhbar tentang berita kemalangan jalan raya di negara kita yang melibatkan kematian, khususnya apabila tiba musim perayaan. Situasi ini banyak menimbulkan kebimbangan dikalangan masyarakat Malaysia, terutama sekali apabila berlakunya peningkatan jumlah kadar kemalangan raya di negara ini. Itu tidak termasuk lagi kemalangan jalan raya yang tidak dilaporkan oleh pihak media masa.

Selain daripada kerosakan harta benda terutama sekali kenderaan, kemalangan jalan raya yang berlaku juga ada melibatkan kehilangan nyawa. Ini secara tidak langsung akan memberi kesan jangka panjang yang amat mendalam kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat, apabila mereka terpaksa menerima hakikat kehilangan insan-insan yang amat mereka sayangi.

Sekadar Gambar Hiasan

Kejadian terbaru membabitkan kemalangan maut berlaku pada hari ini 29.10.2012, melibatkan 3 jenis kenderaan iaitu motosikal, kereta dan bas ekspress di Jalan Temoh-Tapah berhadapan Balai Polis Temoh, Perak. Kemalangan tersebut telah mengorbankan seorang ibu dan anaknya serta menyebabkan sepasang suami isteri cedera parah. Mangsa yang terbunuh dipercayai pemandu kereta dan anak lelakinya manakala mangsa yang mengalami kecederaan parah pula adalah merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Apabila berlakunya kemalangan maut khususnya melibatkan jumlah angka korban yang tinggi, ramai pihak cuba menunding jari di antara satu sama lain di atas apa yang berlaku. Untuk pengetahuan para pembaca, Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya antara yang tertinggi di dunia. Banyak faktor yang boleh menjadi penyumbang utama kepada berlakunya peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia. 

Antara faktor-faktor yang menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya termasuk lah : 

- Terbabas sendiri.
- Memakan jalan.
- Cuba atau sedang menukar laluan.
- Cuai ketika keluar dan masuk simpang jalan susur.
- Mengekori rapat kenderaan hadapan.
- Tidak nampak kenderaan atau objek serta binatang dihadapan.
- Melawan aliran trafik.
- Membuat pusingan U.
- Melanggar arahan lampu isyarat.
- Leka, suka berangan dan mengantuk.
- Cuai ketika mengundurkan kenderaan.
- Berlumba.
- Berhenti mengejut.
- Di bawah pengaruh dadah mahupun alkohol.

Selain itu, keadaan permukaan jalan raya yang kurang memuaskan, keadaan persekitaran dan kenderaan itu sendiri, juga merupakan antara faktor utama berlakunya peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Pelbagai cara dan pendekatan yang telah diguna pakai oleh pihak Kerajaan Persekutuan Malaysia  melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi yang berkaitan, bagi mengurangkan jumlah kadar kemalangan jalan raya di Malaysia termasuk lah menjalankan "Ops Sikap (Operasi Sikap)" khususnya apabila menjelang musim perayaan. Selain itu pelbagai agensi yang berkaitan juga ada menjalankan kempen-kempen keselamatan jalan raya seperti "Kemalangan Sifar", "Kelajuan Boleh Membunuh", dan banyak lagi, dengan harapan jumlah kadar kemalangan jalan raya di negara ini dapat dikurangkan ke tahap yang minimum.


Automated Enforcement System (AES) By JPJ

Terbaru, bersandarkan kepada kejayaan yang telah dicapai oleh negara-negara maju seperti Britain dan juga Australia di dalam usaha mereka untuk mengurangkan jumlah kadar kemalangan jalan raya. Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan "Automated Enforcement System (AES)" bertujuan untuk mendidik para pemandu di negara ini supaya lebih berhati-hati dan mematuhi segala peraturan-peraturan semasa memandu di jalan raya. Namun masih terdapat segelintir masyarakat di negara ini, yang tidak setuju dan membantah perlaksanaan AES di Malaysia. Sedangkan rekod yang ditunjukkan oleh sistem AES, sudah terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sehingga 40% di negara-negara maju.

 Rangkaian Lebuhraya Autobahn Jerman
 
Tahukah anda :
"Separuh daripada "Rangkaian Lebuhraya Autobahn" di Jerman sepanjang 11,980 km yang menghubungkan negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Jerman, tidak mempunyai kadar had laju yang ditetapkan. Walau bagaimanapun kadar had kelajuan yang disarankan oleh pihak berkuasa di sana adalah 130km/j. Lebuhraya ini merupakan salah satu lebuhraya yang mempunyai rekod kadar kemalangan jalan raya, antara yang terendah di dunia".
Jadi dimanakah silapnya, apabila kes kemalangan jalan raya yang berlaku di Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan???. Sedangkan Lebuhraya Autobahn di Jerman yang tidak mempunyai had kelajuan pun, mampu mencatatkan kadar kemalangan jalan raya antara yang terendah di dunia. Umum juga mengetahui bahawa negara Jerman merupakan pengeluar kereta mewah yang mempunyai kuasa pemanduan dan pecutan enjin yang tinggi seperti BMW, Mercedes, Audi, Volkswagen, Porsche dan banyak lain.
Pun begitu, berlainan pula situasinya di negara matahari terbit iaitu Jepun. Kerajaan Jepun telah menetapkan satu polisi yang perlu dipatuhi oleh kesemua pengeluar kenderaan yang ingin memasarkan produk mereka ke pasaran Jepun. Di dalam polisi tersebut telah menetapkan bahawa, semua kenderaan di sana perlu "Disetup Had Kelajuan" pada alat khas yang telah dipasang pada enjin kenderaan. Ini bermakna, apabila kenderaan tersebut dipandu melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan pada alat khas yang dipasang pada enjin, secara automatik enjin kenderaan tersebut akan mati secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun, had kelajuan pada alat khas itu bergantung kepada kapasiti enjin sesuatu kenderaan.
Aku pernah menonton satu dokumentari khas di Saluran National Geographic tentang pembuatan kereta Volvo model S60. Di dalam dokumentari tersebut, menerangkan tentang kecanggihan teknologi yang ada pada model kereta buatan Sweden itu. Namun apa yang menarik minat aku semasa menonton dokumentari tersebut adalah kata-kata daripada salah seorang jurutera yang terlibat secara langsung di dalam proses penghasilan model kereta Volvo S60. 
Beliau ada menyatakan bahawa :
"Kebanyakan model-model kereta yang ada di dunia pada masa ini, mempunyai teknologi yang amat canggih dan ada yang melangkaui batas pemikiran kita. Namun apa yang menjadi penyebab utama berlakunya sesuatu kemalangan jalan raya, adalah disebabkan sikap kecuaian pemandu itu sendiri".
Fikir-fikirkan lah..... 
 
 





Tuesday 23 October 2012

Dahagakan Kasih Sayang Seorang Ayah

Tidak tahu kenapa malam ini timbul satu perasaan di mana, aku terasa sungguh rindu yang teramat sangat pada ayah aku yang tercinta. Hari ini boleh dikatakan gelaplah 3 bulan ayahku tidak pulang ke rumah ibuku di Temerloh, Pahang. Aku langsung tidak mendengar khabar berita daripadanya sejak dari hari pertama Hari Raya Aidilfitri sehingga lah ke saat ini. Aku tidak tahu sama ada beliau berada di dalam keadaan sihat atau pun sebaliknya. Sedangkan hanya tinggal 3 hari lagi umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari Jumaat ini 26.10.2012. 


Kadang-kadang jujur dalam lubuk hatiku yang amat dalam ini, timbul satu perasaan yang amat cemburu dikala melihat kemesraan yang terjalin di antara seorang ayah dengan anaknya terutama sekali apabila aku melihat kawan-kawan aku atau orang diluar sana sangat rapat dengan ayah mereka. Kenapa aku tidak diberi peluang untuk merasai saat-saat seperti itu bersama ayahku tercinta walaupun untuk seketika?.

Aku tidak tahu pada siapa lagi yang patut dan perlu aku luahkan apa yang aku rasa disaat-saat ini selain daripada Penciptaku sendiri iaitu Allah S.W.T. Sebagai anak sulung daripada 2 orang adik-beradik dan merupakan anak lelaki tunggal di dalam keluargaku, aku sepatutnya perlu tabah dan kuat, lebih-lebih lagi aku sudah pun menjadi lelaki dewasa. Namun aku juga seorang manusia biasa yang tidak lari daripada menitiskan air mata disaat-saat timbul perasaan rindu pada ayahku. Walaupun aku sudah berusia 24 tahun, tapi aku amat memerlukan kasih sayang dan juga perhatian daripada seorang insan yang bergelar ayah.

Aku perlukan satu bimbingan dan tunjuk ajar serta contoh teladan yang baik daripada seorang lelaki yang lebih dewasa terutama sekali dari insan yang bergelar ayah kerana disitu lah aku mampu untuk belajar menjadi lelaki yang lebih matang dan boleh berdikari serta mampu untuk membimbing ahli-ahli keluarga ku terutama sekali kepada bakal isteri dan anak-anakku, sekiranya andai kata aku bakal mendirikan rumah tangga kelak.



Akan tetapi aku bernasib baik kerana dianugerahkan oleh Allah S.W.T seorang ibu yang amat memahami, menyayangi dan mengambil berat pasal anak-anaknya. Ibu lah tempat aku untuk menyuarakan atau meluahkan sesuatu masalah yang dihadapi. Ibuku juga lah merupakan individu yang banyak memberikanku didikan agama dan peluang untuk aku melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading. Tanpa ibu yang tercinta, mungkin diriku akan menjadi lumpuh dan tidak bersemangat lagi untuk meneruskan hidup, lebih-lebih lagi apabila diriku pernah diuji oleh Allah S.W.T dengan satu ujian yang amat berat untuk aku tanggung dan hadapi seorang diri. Ibu lah yang banyak memberikan aku kata-kata semangat dan dorongan untuk aku terus tabah dan sabar di dalam menghadapi ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T. 

Nasihat aku kepada para bapa dan ayah di luar sana. Selagi diberikan kesempatan oleh Allah S.W.T untuk membahagiakan keluarga anda, lakukan lah dengan sebaik mungkin. Hargai lah masa dan peluang yang diberikan kepada anda, dengan membuatkan anak-anak anda mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya. Kerana bukan semua insan yang ada di muka bumi ini, bernasib baik dan diberikan peluang serta kesempatan untuk merasai kasih sayang dan perhatian daripada ayah mereka sendiri. Masih ramai di luar sana yang begitu dahagakan belaian kasih sayang daripada seorang insan yang bergelar ayah.

Fikir-fikirkan lah.....













  

  

Sunday 21 October 2012

Percayakah Anda Ini Lukisan Dan Bukan Gambar???


Susah aku nak percaya bahawa gambar di atas ini adalah lukisan yang berasaskan minyak dan kanvas. Namun itulah kenyataannya, ianya ialah merupakan salah satu hasil karya lukisan yang unik, kreatif serta nampak seakan-akan benar.

Hasil karya "Roberto Bernadi" pelukis dari Itali ini memang berpandukan kepada gambar yang diambil menggunakan kamera berteknologi tinggi, dan dengan bakat kreativiti yang beliau ada, lukisan dihasilkan seperti lukisan konvensional yang lain berasaskan lukisan minyak dan kanvas dengan penekanan kepada aspek pencahayaan. Maka terhasillah lukisan ini.

SubhanAllah, besar sungguh anugerah Allah S.W.T berikan kepada mahluk ciptaan Nya.

Maklumat lanjut boleh rujuk di laman web : http://www.robertobernardi.com