MaSa ItU EmAs

Tuesday 10 July 2018

Gigi Geraham Bongsu

“Doktor, gigi bawah saya yang hujung sekali sakit sampai ke telinga. Nak buka mulut pun sakit, nak telan makanan pun susah.” Seorang pesakit wanita berusia awal 20 an menceritakan masalahnya.

“Berapa umur adik sekarang?” Tanya saya bukan dengan tujuan nak berkenalan, tapi ada tujuannya.

“24 tahun!” Jawabnya

“Sudah berapa lama sakitnya?”

“Banyak kali dah doktor. Dalam masa 3 bulan ini, dah berulang kali sakit.”

“Boleh doktor periksa gigi adik?” Saya sebenarnya sudah dapat meneka, apakah punca masalahnya walaupun belum memeriksa giginya.

Benar sebagaimana hipotesis (pandangan) awal saya, pesakit ini mempunyai masalah dengan gigi geraham bongsu (wisdom tooth).

Kenapa ia dipanggil dalam masyarakat kita sebagai geraham bongsu? Jawabnya, kita manusia yang normal dikurniakan oleh Allah, masing-masing mempunyai 3 batang gigi geraham besar. Gigi geraham bongsu adalah gigi geraham yang ketiga, paling hujung kedudukannya serta paling akhir masa tumbuhnya ketika seseorang itu berusia dalam lingkungan 19 – 23 tahun.

Pesakit yang saya ceritakan ini sudah berusia 24 tahun, sepatutnya gigi geraham bongsunya telah tumbuh sepenuhnya dengan sempurna. Tetapi kenapa dia mengadu kesakitan?

Pemeriksaan saya mendapati, gigi geraham bongsunya berada dalam kedudukan condong, bukannya menegak. Hanya sedikit sahaja dari bahagian gigi tersebut yang keluar sementara bakinya masih terbenam di bawah gusi. Keadaan gigi yang condong itu menghalangnya daripada tumbuh dengan sempurna. Di dalam istilah pergigian, ia disebut ‘impacted wisdom tooth’ (geraham bongsu terimpak).

Apabila gigi ini tak dapat tumbuh dengan sempurna, akan terbentuk satu lapisan gusi yang menutup di bahagian atas gigi tersebut. Lapisan gusi inilah yang selalunya terkena jangkitan kuman sehingga menyebabkan kesakitan. Memang kesakitan disebabkan masalah geraham bongsu akan menyebabkan pesakit sukar untuk membuka mulut dan menelan makanan.

Kedudukan gigi dalam keadaan condong juga akan membentuk kawasan yang menjadi perangkap makanan di antara geraham bongsu ini dengan gigi di hadapannya sehingga kemungkinan untuk sisa makanan yang terperangkap tersebut menjadi punca kepada berlakunya karies gigi adalah tinggi. Karies ini boleh berlaku bukan hanya kepada geraham bongsu tersebut, malah kadang-kadang turut melibatkan gigi bersebelahan.

Bagaimana penyelesaiannya?
Gigi yang tumbuh dengan posisi condong yang tak normal ini bolehlah kita istilahkan sebagai gigi yang tak memberi sebarang fungsi. Bukan setakat tak berfungsi, ia juga membawa masalah kepada tuannya. Tak ada pilihan lain kecuali gigi ini perlu dicabut. Tetapi oleh kerana kedudukannya yang condong serta sebahagian besar gigi ini masih terbenam di dalam tulang rahang di bawah gusi, maka pembedahan kecil perlu dilakukan untuk mengeluarkannya.

Bagaimana kaedahnya?
Pembedahan ini hanya pembedahan kecil yang boleh dibuat di kerusi pergigian dengan bius setempat (local anesthesia) secara suntikan sahaja. Di dalam kes apabila gigi geraham bongsu yang terbenam ini bilangannya lebih dari sebatang dan pesakit memohon untuk mencabut kesemuanya secara sekaligus, pembedahan ini juga boleh dilakukan di bawah bius am (general anesthesia).

Kr: Azman Ibrahim




No comments:

Post a Comment