MaSa ItU EmAs

Tuesday, 23 October 2012

Dahagakan Kasih Sayang Seorang Ayah

Tidak tahu kenapa malam ini timbul satu perasaan di mana, aku terasa sungguh rindu yang teramat sangat pada ayah aku yang tercinta. Hari ini boleh dikatakan gelaplah 3 bulan ayahku tidak pulang ke rumah ibuku di Temerloh, Pahang. Aku langsung tidak mendengar khabar berita daripadanya sejak dari hari pertama Hari Raya Aidilfitri sehingga lah ke saat ini. Aku tidak tahu sama ada beliau berada di dalam keadaan sihat atau pun sebaliknya. Sedangkan hanya tinggal 3 hari lagi umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari Jumaat ini 26.10.2012. 


Kadang-kadang jujur dalam lubuk hatiku yang amat dalam ini, timbul satu perasaan yang amat cemburu dikala melihat kemesraan yang terjalin di antara seorang ayah dengan anaknya terutama sekali apabila aku melihat kawan-kawan aku atau orang diluar sana sangat rapat dengan ayah mereka. Kenapa aku tidak diberi peluang untuk merasai saat-saat seperti itu bersama ayahku tercinta walaupun untuk seketika?.

Aku tidak tahu pada siapa lagi yang patut dan perlu aku luahkan apa yang aku rasa disaat-saat ini selain daripada Penciptaku sendiri iaitu Allah S.W.T. Sebagai anak sulung daripada 2 orang adik-beradik dan merupakan anak lelaki tunggal di dalam keluargaku, aku sepatutnya perlu tabah dan kuat, lebih-lebih lagi aku sudah pun menjadi lelaki dewasa. Namun aku juga seorang manusia biasa yang tidak lari daripada menitiskan air mata disaat-saat timbul perasaan rindu pada ayahku. Walaupun aku sudah berusia 24 tahun, tapi aku amat memerlukan kasih sayang dan juga perhatian daripada seorang insan yang bergelar ayah.

Aku perlukan satu bimbingan dan tunjuk ajar serta contoh teladan yang baik daripada seorang lelaki yang lebih dewasa terutama sekali dari insan yang bergelar ayah kerana disitu lah aku mampu untuk belajar menjadi lelaki yang lebih matang dan boleh berdikari serta mampu untuk membimbing ahli-ahli keluarga ku terutama sekali kepada bakal isteri dan anak-anakku, sekiranya andai kata aku bakal mendirikan rumah tangga kelak.



Akan tetapi aku bernasib baik kerana dianugerahkan oleh Allah S.W.T seorang ibu yang amat memahami, menyayangi dan mengambil berat pasal anak-anaknya. Ibu lah tempat aku untuk menyuarakan atau meluahkan sesuatu masalah yang dihadapi. Ibuku juga lah merupakan individu yang banyak memberikanku didikan agama dan peluang untuk aku melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading. Tanpa ibu yang tercinta, mungkin diriku akan menjadi lumpuh dan tidak bersemangat lagi untuk meneruskan hidup, lebih-lebih lagi apabila diriku pernah diuji oleh Allah S.W.T dengan satu ujian yang amat berat untuk aku tanggung dan hadapi seorang diri. Ibu lah yang banyak memberikan aku kata-kata semangat dan dorongan untuk aku terus tabah dan sabar di dalam menghadapi ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T. 

Nasihat aku kepada para bapa dan ayah di luar sana. Selagi diberikan kesempatan oleh Allah S.W.T untuk membahagiakan keluarga anda, lakukan lah dengan sebaik mungkin. Hargai lah masa dan peluang yang diberikan kepada anda, dengan membuatkan anak-anak anda mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya. Kerana bukan semua insan yang ada di muka bumi ini, bernasib baik dan diberikan peluang serta kesempatan untuk merasai kasih sayang dan perhatian daripada ayah mereka sendiri. Masih ramai di luar sana yang begitu dahagakan belaian kasih sayang daripada seorang insan yang bergelar ayah.

Fikir-fikirkan lah.....













  

  

No comments:

Post a Comment