Bersempena menyambut "Hari AIDS Sedunia" yang bakal disambut tidak lama lagi iaitu pada "1 Disember" setiap tahun. Mari sama-sama kita memahami erti sebenar dan mengetahui istilah yang perlu dielakkan berkaitan HIV/AIDS.
Sesetengah istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada HIV/AIDS adalah tidak tepat dan tidak sensitif serta perlu dielakkan.
1. AIDS (dikelirukan dengan HIV)
- Elakkan daripada mengelirukan AIDS dengan HIV. HIV merujuk kepada singkatan (Human Immunodeficiency Virus) adalah virus yang menyebabkan sistem ketahanan badan menurun selepas satu jangkamasa. Ia akan berganda dalam sel badan terutamanya sel dalam sistem ketahanan badan. AIDS merujuk kepada singkatan (Acquired Immune Deficiency Syndrome) adalah satu tahap apabila sistem ketahanan badan menjadi amat lemah akibat virus HIV yang merosakkan sel-sel tersebut dan badan menjadi terdedah kepada jangkitan "Opportunistic".
- Jika merujuk kepada epidemik ini, biasakan guna istilah "HIV/AIDS", misalnya Isu HIV/AIDS di negara kita perlu diambil berat.
- Alternatif : Jangkitan HIV, HIV Positif, HIV/AIDS.
2. Pembawa AIDS
- Istilah ini menunjukkan seolah-olah Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS "membawa" penyakit atau nasib malang dan ini mengakibatkan stigma terhadap Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS. Istilah ini juga tidak tepat kerana AIDS "tidak boleh dijangkiti". Hanya HIV yang boleh dijangkiti dari seseorang ke seseorang.
- Alternatif : Mereka Yang Hidup Dengan HIV/AIDS, Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS, Mereka Yang HIV Positif, Orang Yang Dijangkiti HIV.
3. Mangsa AIDS
- Istilah ini melambangkan bahawa Mereka Yang Hidup Dengan HIV/AIDS tiada kawalan ke atas kehidupan mereka.
- Alternatif : Orang Yang HIV Positif, Orang Yang Telah Dijangkiti HIV, Mereka Yang Hidup Dengan HIV/AIDS.
4. Virus AIDS
- Tiada Virus AIDS. Virus penyebab AIDS dipanggil HIV (Human Immunodeficiency Virus)
- Alternatif : HIV, Jangkitan HIV.
5. Golongan Berisiko Tinggi
- Ini mengambarkan bahawa keahlian dalam sesuatu "kumpulan" orang yang menjadikan seseorang itu berisiko untuk dijangkiti HIV. Ini tidak benar kerana "kelakuan" dan bukan kumpulan sosial yang mendedahkan kita kepada jangkitan HIV.
- Alternatif : Kelakuan Berisiko Tinggi Seperti : Seks Tidak Selamat, Perkongsian Jarum Suntikan.
6. Mangsa Tidak Berdosa
- Sering digunakan untuk merujuk kepada kanak-kanak yang positif HIV atau mereka yang dijangkiti HIV melalui perubatan. Dengan ini, kita seolah-olah menyatakan bahawa mereka yang dijangkiti melalui cara lain adalah berdosa, bersalah atau tidak bermoral.
- Alternatif : Kanak-Kanak Yang HIV Positif, Mereka Yang Dijangkiti HIV Melalui Perubatan, Mereka Yang HIV Positif.
7. Pesakit AIDS
- Gunakan istilah ini hanya dalam konteks perubatan. Untuk merujuk kepada mana-mana individu yang mempunyai virus HIV, tetapi belum sampai ke tahap AIDS, gunakan istilah lain.
- Alternatif : Mereka Yang Hidup Dengan HIV/AIDS, Orang HIV Positif.
8. Ujian AIDS
- Istilah betul ialah "Ujian Antibodi HIV". Ujian ini tidak menguji kehadiran AIDS atau virus HIV, tetapi mengesan kehadiran antibodinya dalam badan yang terhasil untuk melawan virus.
9. AIDS
- AIDS adalah singkatan bagi Acquired Immune Deficiency Syndrome. Ia ditulis dengan huruf besar sepenuhnya kerana menulis dengan huruf kecil boleh mengelirukan pembaca dengan perkataan Inggeris "aids" yang membawa maksud "membantu".
10. Seks Bebas/Seks Rambang/Seks Luar Nikah
- Jangan gunakan istilah-istilah ini untuk menerangkan cara HIV dijangkiti. Seseorang tidak boleh dijangkiti HIV hanya kerana mengadakan seks dengan pelbagai pasangan. HIV boleh dijangkiti melalui "Seks Tidak Selamat" tanpa mengira beberapa pasangan yang dilalui.
11. Penagih Dadah
- Istilah yang sepatutnya digunakan ialah "Pengguna Dadah" kerana istilah itu lebih sensitif dan kurang merendahkan martabat seseorang.
12. Pelacur
- Istilah yang sepatutnya digunakan ialah "Pekerja Seks".
Kesimpulan : "Dengan kemajuan teknologi perubatan moden yang ada pada masa kini, PLHIV mampu mendapatkan zuriat yang bebas jangkitan virus HIV, mendirikan rumah tangga dengan pasangan yang non PLHIV, menikmati tahap kesihatan yang lebih baik dan mampu mengelakkan diri mereka daripada mendapat gejala AIDS. Dengan syarat, mereka perlu sentiasa mendapatkan rawatan susulan dan pemantauan berkala daripada para Pegawai Perubatan yang bertauliah dan arif tentang HIV. Marilah kita sama-sama memperjuangkan nasib dan kebajikan PLHIV serta menghentikan segala stigma atau penghinaan atau persepsi negatif atau apa-apa sahaja yang berunsurkan negatif yang ditujukan kepada PLHIV. Mereka berhak untuk menjalani kehidupan yang normal sama seperti individu yang non PLHIV".
Fikir-fikirkan lah.....
No comments:
Post a Comment